Diterangkan di dalam kitab Ehyaaul-ulum karangan Imam Ghazali, ada seorang Abid (ahli ibadat) dikalangan bani Israel yang sentiasa sibuk dengan ibadat. Pada suatu hari datanglah satu rombongan menyampaikan perihal sebuah kaum yang menyembah pohon kayu.
Mendengar berita itu, Abid lantas marah semarah-marahnya. Lalu ia mengambil sebilah kapak dan keluar untuk menebang pokok tersebut. Dalam perjalanannya, dia telah bertemu dengan syaitan yang telah menyamarkan dirinya sebagai seorang tua. Syaitan pun bertanya,
Syaitan: Engkau hendak ke mana?
Abid: Aku hendak pergi menebang pokok yang disembah orang
Syaitan: Kenapa engkau hendak menebang pokok itu. Engkau tinggalkan ibadat engkau hanya kerana satu perbuatan yang sia-sia
Abid: Ini juga merupakan satu ibadat
Syaitan: Tidak sekali-kali aku akan membenarkan engkau menebang pokok itu
Akhirnya, satu perkelahian yang hebat pun berlaku di antara Abid dan syaitan. Abid telah berjaya mengalahkan syaitan lalu ia duduk di atas dada syaitan itu. Menyedari akan kekalahannya itu, syaitan pun cuba menggoda Abid,
Syaitan: Dengarlah kata-kataku. Perkara menebang pokok itu bukanlah Allah wajibkan ke atasmu. Pokok itu pun tidak mengganggu amal ibadat kamu dan kamu pun bukannya menyembah pokok itu. Tuhan telah mengutuskan para AnbiyaNya. Jika ia mengkehendaki, pasti Dia akan memerintahkan Nabi-nabi menebang pokok itu
Abid: Aku tak peduli. Aku mesti menebang pokok itu. Buatlah apa pun yang engkau suka
Lalu mereka pun berkelahi lagi. Sekali lagi Abid berjaya mengalahkan syaitan. Lalu syaitan pun berkata,
Syaitan: Dengarlah kata-kataku yang terakhir ini. Ia mungkin menguntungkan engkau. Engkau ini seorang miskin yang menjadi beban kepada masyarakat. Kau biarkanlah pokok itu dan ambil tiga dinar (wang emas) setiap hari dari bawah bantalmu. Dengan wang itu, kau akan memenuhi keperluan seharianmu, menunaikan hak keluargamu dan membantu fakir miskin. Kau boleh gunakan wang itu untuk mengerjakan amalan yang baik lagi menguntungkan dirimu. Jika kau tebang pokok ini, kau hanya mendapat satu pahala sahaja. Sedangkan penyembah2 pokok ini pasti akan mencari pokok lain untuk disembah
Malangnya kali ini, Abid telah terpengaruh dengan pujukan syaitan dan menerima tawaran tiga dinar itu. Dua pagi berturut-turut, Abid memperolehi 3 dinar dari bawah bantalnya, manakala pada hari ketiga, wang itu tidak pula diperolehinya. Merasakan dirinya tertipu, Abid lantas mencapai kapaknya lalu keluar untuk menebang pokok kayu itu. Dalam perjalanannya, sekali lagi Abid bersua dengan syaitan.
Syaitan: Engkau hendak ke mana?
Abid: Aku hendak menebang pokok itu
Syaitan: Kini kau tidak berdaya untuk menebang pokok itu lagi
Lalu mereka pun berkelahi. Kali ini syaitan pula yang menang dan duduk di atas dada Abid. Abid tercengang lalu bertanya,
Abid: Kenapa sekarang engkau dapat mengalahkan aku sedangkan dulu, aku telah mengalahkan engkau?
Syaitan: Dahulu, engkau menang kerana engkau berjuang semata-mata kerana Allah. Kini, engkau kalah kerana engkau berjuang semata-mata kerana wang
Begitulah sahabat sekalian, sesungguhnya perbuatan yang dikerjakan kerana Allah mempunyai kekuatan yang luar biasa. Sesungguhnya, keikhlasan itu sahaja yang dipandang oleh Allah Ta’ala. Semua amalan dinilai berdasarkan keikhlasan pengamalnya.
Note: Artikel ini saya salin semula dari http://nasbunnuraini.wordpress.com/
"
0 Comments