Advertisement

Main Ad

Cara melayani anak kecil yang suka bertanya

Apa tu mak? Mengapa tu ayah? Bagaimana tu mak? Ramai ibu bapa kadang kala tidak terdaya melayan pertanyaan ini lebih-lebih lagi ibu bapa yang telah penat bekerja sepanjang hari. Anak-anak ini jika tidak dilayan akan dimarahi, ditengking, atau dimaki hamun. Akhirnya dia tidak akan bertanya lagi malah mungkin akan terus mendiamkan diri, atau mencuba perkara lain, benda-benda, barang atau kawan-kawan yang sama senasib dengan nya.

Masalah sosial hari ini adalah disebabkan anak-anak yang terbiar atau dipajak gadaikan kepada orang lain dari kecil lagi kerana ibu bapa tiada masa untuk mereka.

Siapakah bertanggungjawab dalam perkara ini? Inilah persoalan yang mesti dijawab oleh para pemimpin, pembuat polisi, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua korporat dan ibu bapa semua.

Tetapi hari ini banyak tumpuan diberi kepada perkara yang menambahkan lagi masalah ini. Taska, tadika, pusat jagaan kanak-kanak tumbuh macam cendawan tetapi tidak disediakan dengan program yang sesuai untuk anak-anak. Pihak yang menjaganya sekadar makan gaji sahaja dan tidak ada rasa sayang kepada anak.

Ibu bapa pula tidak dibenarkan langsung terlibat dalam program-program yang dilaksanakan. Malah untuk menghantar anak ke taska, dan tadika pun dipajak kepada orang lain.

Mengapa anak suka bertanya? Anak suka bertanya kerana is adalah anugerah semula jadi Allah S.W.T supaya dia bukan sahaja mengenal tetapi memahami persekitarannya dan boleh menyesuaikan dirinya dengan sesiapa pun dan di mana juapun.

Jadi jika anak bertanya, "Ayah, kenapa semua kereta berhenti di sini? Depan itu ada lampu, lampu apa itu ayah?"

Jawapan penuh kasih sayang

Ayah yang penat hanya berdiam din atau menjawab dengan kasar "tak tahu lagi lagi ke itu lampu isyarat. Anak akan terus bertanya apa itu 'lampu isyarat ayah? Mengapa ada tiga warna, merah, oren dan hijau? Kita berhenti kerana warna lampu tu merah, ya ayah? Apa pula maknanya warna oren dan hijau? Siapa yang tukarkan lampu itu?"

Ayah yang penat mungkin akan terus berkata, "diamlah, ayah tak tahu " .

Tapi ayah yang penuh kasih sayang akan memberi jawapan sebaliknya. Dia akan berkata, "ya sayang, merah tu berhenti, oren itu bersedia dan hijau itu boleh berjalan."

"Siapa yang buka suis untuk menukarkan lampu itu?" anak bertanya. "Nanti ya, satu hari kita semua akan pergi tempat kawalannya ya sayang, sementara itu hari Sabtu ini kalau ayah tiada apa urusan kita pergi perpustakaan dan cari buku-buku berkaitannya. Malam nanti kita boleh juga mencari bahan-bahan melalui Internet."

"Itu sebabnya ayah dah mula ajar membaca. Jika Aman dah pandai membaca, Aman boleh mencari sendiri fakta ini. Ayah dan ibu juga boleh membantu Aman belajar membaca, mengira dan seterusnya," ujar ayah yang prihatin.

Lagi satu perkara yang amat penting ialah jawapan yang diberi mestilah tepat, jelas, betul dan tidak mengelirukan. Cara ini, sedar atau tidak, kita akan meminatkan anak mencari dan meneroka ilmu baru.

Ibu dan ayah juga akan terpaksa belajar ilmu baru, umpamanya jika kita mengenalkan anak kepada pokok. Kita seharusnya memberi tahu nama pokok itu dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Latin. Kita boleh minatkan lagi anak kepada pokok dengan memberitahunya ciri-ciri pokok itu selain menerangkan asal usul pokok, kegunaannya, apa yang baik atau buruk tentang pokok itu dan semua fakta berkenaannya. Sekiranya anda ibu bapa yang prihatin dan penuh kasih sayang, inilah yang patut dilakukan. Selamat mencuba.

Oleh : DATO' DR NOOR LAILY DATO' ABU BAKAR
Institut Pembangunan Keluarga & Kanak-kanak NURY

Post a Comment

0 Comments