Advertisement

Main Ad

Empat Jenis Manusia Haram Dilantik Jadi Pemimpin

"

Sebagai makhluk bernyawa, manusia tidak dapat pisahkan diri daripada organisasi, sama ada organisasi diri, keluarga dan bermasyarakat. Hati adalah ketua dalam organisasi diri, bapa ketua dalam sebuah keluarga dan pemimpin adalah ketua dalam organisasi masyarakat.

Mana-mana koloni akan hidup secara berorganisasi. Bukan sahaja manusia, malah koloni haiwan juga mempunyai organisasi yang tersusun. Koloni semut, anai-anai ataupun lebah jelas menggambarkan organisasi sebuah masyarakat.

Sistem kepimpinan peradaban manusia telah wujud sejak awal ketamadunan. Tamadun yang wujud sejak 5,000 tahun dahulu memperlihatkan pelbagai sistem telah diamalkan. Formula seperti demokrasi, sosialis, mahupun sistem-sistem lain telah diperdebatkan oleh pemikir-pemikir silam seperti Plato dan Socrates. Namun, kepimpinan tetap tidak lari daripada konsep pemimpin dan yang dipimpin.


Memilih pemimpin dalam Islam

Kepimpinan dalam Islam mengutamakan agama sebagai tonggak. Justeru, semua kaedah pelaksanaan tidak terlepas dari hukum Allah. Al-Quran dan hadis adalah panduan wajib dalam menentukan ciri-ciri dan kaedah pemilihan pemimpin.

Orang Islam wajib berhati-hati dalam soal kepimpinan kerana ia adalah persoalan yang ada kaftan dengan soal iman dan akidah, bahkan menjadi inti sari daripada kalimah tauhid yakni al-wala wal-bara’ Kesilapan memilih kepimpinan boleh mendatangkan malapetaka sepanjang masa.

Jika dipilih seorang pemimpin yang ingkar kepada hukum dan syariat Allah SWT sedangkan kita dalam keadaan sedar, maka pada saat itu kita menjadi orang yang munafik dan zalim, maka murka Allah amat besar kepada kita sebagaimana firmanNya yang bermaksud;

""Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditepatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka."" (An-Nisa': 145.)

Menyedari pentingnya pemimpin dan kepimpinan, maka Allah telah menyatakan dalam al-Quran empat kategori manusia yang haram diangkat menjadi pemimpin. Bagi yang tidak termasuk dalam keempat-empat kategori pastilah dibolehkan.

PERTAMA: Orang Yahudi dan Nasrani.

Firman Allah yang bermaksud:

""Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu jadikan orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin sebab mereka hanya layak menjadi ketua di atas sebahagian dari mereka. Barang siapa di antara kamu menjatuhkan mereka pemimpin, sesungguhnya ia jadi golongan mereka (Yahudi dan Nasrani). Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim."" (Al-Maidah:51)

KEDUA: Orang yang melebihi atau mengutamakan kekafiran daripada keimanan.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:

""Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil bapa-bapa, saudara-saudara kamu menjadi pemimpin jika mereka memilih kafir dari iman. Barang siapa mengangkatnya menjadi pemimpin dari kalangan kamu, maka mereka itu adalah zalim': (AtTaubah:23.)



KETIGA: Orang yang di luar kalanganmu termasuk di dalamnya orang munafik.

Allah berfirman, mafhumNya:

""Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil sahabat yang setia selain dari golongan kamu, mereka tidak henti-hentinya berikhtiar mencelakakan kamu, mereka itu suka apa yang menyusahkan kamu. Sesungguhnya kebencian telah terbit dari mulut mereka, tetapi apa yang tersembunyi dalam hati mereka adalah lebih besar lagi. Kami telah terangkan kepadamu tanda-tanda jika kamu mahu berfikir. Ingatlah kamu ini mencintai mereka sedang mereka tidak mencintai kepadamu dan kamu percaya kepada seluruh kandungan al-Quran, sedang mereka itu apabila bertemu dengan kamu, mereka mengakui: kami beriman, tetapi apabila berpisah, mereka gigit jari mereka lantaran marah bercampur benci kepadamu. Katakanlah kepada mereka: matilah kamu bersama kemarahan kamu itu. Allah mengetahui apa yang ada di dalam dadamu/ hatimu': (Ali-'Imran:118-119)

KEEMPAT: Orang yang mengingkari Al-Quran dan hukumnya.

Berhubung perkara ini Alah berfirman;

""Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan orang-orang kafir itu menjadi pemimpin kamu, padahal mereka bukan dari kalangan orang mukmin (yang benar), apakah kamu mencari satu alasan yang nyata bagi alasan bagi Allah untuk menyiksamu?"" ( An-Nisa':144.)

Rasulullah SAW mengingatkan jika ada kalangan manusia yang berkehendakkan sesuatu jawatan atau menjadi pemimpin, hendaklah jangan dilantik kerana akan mendatangkan banyak masalah kepada pemimpin itu sendiri dan juga yang dipimpin. Jawatan itu hendaklah diberikan kepada orang yang dipilih daripada kalangan yang tidak berkehendakkan sesuatu jawatan/menjadi pemimpin tetapi ada kebolehan.

Iman Bukhari diriwayatkan berkata bahawa Abu Zar menceritakan kepadanya bahawa beliau (Abu Zar) telah berkata kepada Rasulullah SAW, ""Wahai Rasulullah, tidakkah boleh Rasulullah melantikku ke sesuatu jawatan?"".

Lalu Rasulullah SAW menepuk bahu Abu Zar dan bersabda: ""Wahai Abu Zar! Engkau lemah. Jawatan itu adalah suatu amanah, ia di hari kiamat adalah suatu kehinaan dan penyesalan kecuali orang menerimanya kerana berhak dan menunaikan tugasnya dengan betul"".

Dalam Islam, jawatan bukanlah satu hak yang mesti diberi, apatah lagi jika diperoleh dengan cara yang salah seperti melalui rasuah, membodek dan sebagainya. Jawatan adalah satu tugas, tanggungjawab dan amanah.

Rasulullah SAW tidak memberikan sesuatu jawatan/kepimpinan kepada orang yang memohon atau orang yang berhasrat untuk mendapatkannya tetapi menyerahkan kepada mereka yang cukup layak namun tidak berhajatkan jawatan berkenaan.

"

Post a Comment

0 Comments