Advertisement

Main Ad

Berfekah (syariat) tanpa tasawuf (hakikat)

 Berfekah (syariat) tanpa tasawuf (hakikat)

Imam Malik r.h.m pernah berkata:

“Barang siapa berfekah (syariat) tanpa tasawuf (hakikat), maka ia jadi fasik. Barang siapa bertasawuf (hakikat) tanpa fekah (syariat), maka ia jadi kafir zindik (kafir secara tidak sedar).”

BERFEKAH TANPA TASAWUF

Berfeqah tanpa tasawuf bermakna seseorang itu hanya melakukan amalan-amalan lahir. Katalah semua rukun Islam yang lima itu beres dilakukannya. Ditambah lagi dengan berjuang fisabilillah, berdakwah, belajar, mengajar, menziarah, berkorban dan menutup aurat. Dijaga juga dari melakukan perkara-perkara lahir yang haram dan makruh. Ditambah lagi dengan amalan-amalan sunat. Pendek kata, semua perintah atau larangan lahir ditaati, tetapi amalan batin yakni hatinya tidak diambil pusing.

Dibiarkan saja riyak, ujub, gila nama, ingin glamor, sombong, tamak, bakhil, pemarah, dendam, dengki, cinta dunia dan lain-lain lagi sifat negatif mencorak sikapnya. Inilah dia orang syariat atau orang yang berfekah sahaja. Pada pandangan mata lahir dia seorang yang sangat baik, kerana hukum Islam yang lahir sangat dijaganya. Tetapi di sisi Allah, orang ini masih berdosa yakni derhaka pada Allah kerana dia tidak menjalankan syariat batin yang diperintahkan oleh Allah. Dibiarkan sahaja hatinya dipenuhi dengan sifat-sifat mazmumah.

Seperti juga orang yang sembahyang tetapi tidak takut dengan Tuhan. Kalau ada tasawuf, selepas sembahyang mesti risau, bimbang, takut tidak beradab dengan Tuhan dalam sembahyang. Takut sembahyangnya Tuhan tidak terima. Bila sembahyang atau membuat ibadat-ibadat yang lain, mesti bertambah rasa hamba. Inilah buah tasawuf. Ibadah walaupun tidak timbul riyak dan tidak ujub tetapi kalau tidak rasa takut dengan Tuhan, hakikatnya tertipu. Boleh beribadah tanpa riyak dan ujub baru sekadar selamat. Bila dapat rasa hamba dan rasa bertuhan, itu baru dikatakan darjat.

Lihat sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang hati kamu dan amalan-amalan kamu.” 

(Riwayat At Tabrani)

Maka orang yang melanggar syariat batin ini, Imam Malik menjatuhkan hukum fasik. Yakni orang berdosa, kalau mati tanpa taubat akan masuk Neraka tetapi tidak kekal di dalam Neraka.

Amar Makruf Nahi Mungkar: 

BERTASAWUF TANPA FEKAH

Bertasawuf tanpa fekah bermakna seseorang yang menjaga hati sahaja, mengamal seluruh atau sebahagian dari syariat batin (amalan batin) tetapi menolak dan meninggalkan syariat lahir semua sekali. Dia sangat menjaga hati dari hasad, dendam, pemarah, jahat sangka di samping menyuburkan kasih sayang, simpati, tawakal, tawadhuk, sabar dan lain-lain sifat mahmudah tetapi tidak melaksanakan rukun Islam yang lima dan hal-hal berkaitan Islam yang lain. Dia memandang enteng soal halal dan haram, mengenepikan soal aqidah dan hukum hakam. Inilah orang yang berhakikat namanya dan menafikan syariat. Pada Imam Malik dikatakan kafir zindiq iaitu kafir secara tidak sedar. Bila mati tanpa taubat, akan dimasukkan ke Neraka dan kekal di dalamnya. 

Wal’iyazubillah.

Oleh sebab itu di dalam kehidupan harian kita sebagai umat Islam, kita perlu merujuk setiap satu perkara kepada Al-Quran dan Sunnah serta Jumhur Ulama agar kita tidak kesesatan. Setiap amalan dalam islam itu perlukan gabungan 3 elemen tauhid, fekah dan tasawuf agar berlaku check and balance dan terbentuklah kesyumulan dan keindahan Islam. Dengan sebab itu tidak berlakulah orang yang sembahyang tetapi membuat perkara mungkar, orang yang bersedekah tetapi sombong dan riak, orang yang pergi berdakwah dan membuat kebajikan tetapi mengharapkan liputan akhbar, pujian dan sanjungan orang.

Post a Comment

0 Comments