Baru semalam aku berpeluang untuk menatap dan menghayati karya terbaru Prof. Razak Mohaideen ni. Filem yang berjudul 'Hingga Hujung Nyawa'. Walaupun aku terlambat, tapi aku yakin masih wujud manusia-manusia yang masih belum melihatnya. Dan jikalau teringin sekalipun, tak tahulah selepas membaca artikel aku ini, mungkin pendirian korang pun turut berubah.
Dari mula cerita aku dah stanby dengan pen dan kertas. Memang aku nak observe bebetul citer ni. Memang aku nak cari slack jer. Ahaks! Lantaklah korang nak kata apa dengan aku. Aku yakin sekurang-kurangnya dari 25juta penduduk Malaysia nih, mesti ada 5 orang yang setuju dengan aku. Atau, mungkin hanya 5 orang saja yang tak setuju. Sapa tahu?
Cerita bermula dengan sekilas wajah Erra Fazira semasa tua. Present time tahun 2005. Scene ni pada aku hanya nak menimbulkan mood penonton. Pasti akan ada yang berbisik. "Real gak diorang makeup Erra jadik tua". Ini lah tujuannya.
Sepanjang cerita babak-babak flashback sering diselang-selikan. Tapi pada aku masih terlalu direct. Penonton takkan keliru dengan babak-babak ini. Jalan cerita yang ingin disampaikan masih boleh difahami dengan jelas. Baru masuk 5 minit tayangan, kuaci gurih yang aku kunyah nyaris tersembur keluar. Terkejut aku dengar suara orang tua berumur 70-an sedemikian rupa. Pejamkan mata semasa melihat scene ini, dan ko akan nampak gambaran seorang perempuan separa matang bertocang dua sambil tangan kanannya memegang lolipop!
Kesian Erra. Kebolehannya dalam memanipulasikan suaranya mengikut watak memang fail!! Baik suara dia melakonkan watak gadis berumur 18 tahun, perempuan tua berumur 70 tahun, mahupun gadis gemuk seberat 90 kilo dalam Cinta Kolestrol, takde beza!! Terus potong markah tinggi yang aku telah berikan pada make-up artis. Kerana bagi aku dah takde makna. Sepatutnya pengarah mempunyai alternatif lain dengan mengantikan suara Erra dengan suara orang lain seperti mana yang dilakukan oleh Badaruddin dalam KL Menjerit. Dan Erra pula perlulah terima hakikat ini jika dia sendiri tidak mahu memperbaikinya. Dan kalau itu terlalu sukar, aku cadangkan supaya korang jangan lepaskan remote semasa melihat scene-scene ini. Mengkala Erra versi tua bersuara sahaja, maka cepat-cepatlah tekan button 'mute'. Sebab korang takkan sanggup mendengar orang tua berumur 70 tahun yang bersuara 'remaja' menjerit "Aku nak laki aku! Hek... Abang... Eeii.. kau tahu tak, aku tak makan sendiri! Aku ada laki, laki aku yang suapkan aku kau tahu tak?! Aku nak laki aku!! Mana laki aku!!" Mungkin masa ni 2,3 orang pula akan menjerit "Mana remote!! mana remote!!!"
Jangan risau kalau korang terasa agak bosan. kerana dipertengahan cerita korang akan dihiburkan dengan watak gadis terencat akal. Scene sewaktu Erra dapat tawaran untuk masuk Kolej betul-betul mengingatkan aku watak tergedik² gadis gemuk terencat akal dalam Cinta Kolestrol. Aku pun blur macamana lakonan dari 2 filem arahan orang yang berbeza boleh menghasilkan aksi yang sama. Apakah ini memang cara si Erra menyampaikan scene untuk menunjukkan suasana excited? Nasib baiklah aku tengok sambil baring. Kalau tengah duduk mahunya aku tergelungsur jatuh dek kerana terkejutkan akan lakonan dia masa tuh. Hish!! Betul-betul menyeramkan!!
Aksi Katijah Tan yang melakonkan watak mak si Erra ni pun tak kurang juga kelakarnya. Korang pernah tengok orang batuk sambil depangkan tangan? Aku ni lah first time tengok. Biasanya orang akan tutup mulut dia. takpun akan usap dada. Sebab biler batuk ni, especially batuk kering cam dia tu, bahagian dadalah yang paling sakit. Keras perut aku. Mungkin aku ini terlalu konvensional lantas tak dapat menerima 'kelainan' yang ingin ditonjolkan oleh Katijah Tan untuk scene 'batuk di tahun 1954'. Apa aku sorang je ke yang perasan?
Sekarang aku nak membawa korang untuk belajar ilmu hisab.
Present time untuk cerita ini adalah Mac 2005.
Erra masuk kolej, 1951 (katakan umur dia masa ni 17 tahun)
Erra dapat anak 1954 (dengarkan suara yusri azankan anak dia.. aku no komen!)
Secara kesimpulannya:
Erra versi tua berumur dalam 71 tahun.
Anak Erra (Yusri jugak) dalam lingkungan 51 tahun. Betullah sifir aku ni kan? Tapi perhatikan si Yusri. Yang real cuma part 'uban'nya saja. sampaikan misai-misai berhuban. Tapi kulit muka licin, tegang, macam buat botox je! Dan isterinya pula (si vanida imran) macam perempuan awal 30-an. Sama ada memang dia kawin dengan perempuan yang 20 tahun lebih muda darinya atau make-up dah habis di applykan ke muka Erra ni tadik. Gamaknya la...
Satu aspek yang segaja tak disentuhkan dalam cerita ini ialah tentang status perkahwinan yusri dengan Erra 50 tahun yang dulu tanpa kehadiran walinya. Ah! lupakan saja pasal tu.
Pada aku idea untuk menghasilkan satu lagi filem genre 'si tanggang' versi perempuan selepas filem lakonan Syarifah Aini dan Latif Ibrahim di awal 80-an dulu ternyata satu tema yang bagus untuk diolah. Secara jujurnya juga jalan ceritanya memang boleh tahan. Cuma mungkin ada kesilapan teknikal dalam pemilihan pelakon. Barangkali kita terlalu ghairah untuk melihat gandingan Erra dan Yusri ni buat kesekian kalinya. Maka terhasillah seketul lagi sampah yang berbau harum. Diorang terlalu tumpukan pada kekuatan make-up tua si Erra dengan harapan "Penonton sure nak tengok macamana keadaan Erra dan Yusri masa tua!" Dan dalam masa yang sama aspek-aspek lain tidak dititik beratkan. Pada yusri, ada penambahbaikan dalam mutu lakonannya berbanding lakonannya dalam filem Cinta Kolestrol.
"Penghulu... kalau aku mati, aku tak redha binatang itu menjenguk mayat aku..."
"Mengucap Lim... (kependekan nama Halim)"
"Kamu jangan benarkan dia menziarahi kubur aku atau pun kubur Mazenah... Kamu janji.."
"Ya.. ya.. aku janji Lim.."
"Ini amanat aku.."
"Lim, mengucap Lim.." Dalam masa yang sama si Erra meraung kat tepi. Ini antara 10 minit yang aku rasakan paling berkesan dalam mewujudkan suasana sedih, terharu dan menyebakkan. Sayangnya scene 10 minit ini tidak mampu nak menutup satu jam lebih lagi scene-scene kelakar yang lain.
Mungkin kita kena buat satu lagi 'Reality Show' untuk mencungkil bakat pelakon baru pulak kot selain dari mencari mereka-mereka yang boleh menyanyi jer?
Berapa bintang untuk Hingga Hujung Nyawa? Dengan agak keberatan, dari lima bintang, aku memberikan 3/4 bintang. Bukan 3 daripada 4 bintang... tapi suku bintang dari 5 bintang!! Harap cukup untuk dikongsikan bersama.
0 Comments