Advertisement

Main Ad

Kelebihan bagi orang yang menjalani ibadah korban

Kelebihan bagi orang yang menjalani ibadah korban
Marilah kita menyambar peluang besar ini yang cuma empat hari sahaja bagi bekal untuk sepanjang tahun.

Antara kelebihan terbesar bagi mereka yang melakukan sembelihan korban, Allah menjauhkannya daripada mati dalam kesudahan yang buruk."" (Imam ath-Thabari)

Pada waktu-waktu yang lain sekiranya kita menyembelih dan mengagihkan daging, ia dianggap sebagai sedekah. Namun dalam empat hari yang tertentu, ia disebut sebagai ibadah korban. Roh dan falsafah antara kedua-duanya berbeza.

Empat Hari Yang Disunatkan Berkorban:
  • Hari Raya Korban (10 Zulhijjah)
  • Hari tasyriq (11,12 dan 13 Zulhijjah)

Kelebihan bagi orang yang berkorban sangat jelas sehingga dinyatakan di dalam firman Allah;
"Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syiar Allah. Kamu memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat).

"Kemudian apabila telah mati, maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.

"Tidak akan sampai kepada Allah daging-dagingnya dan tidak Pula darah-darahnya (daripada binatang sembelihan). Tetapi apa yang akan sampai kepada Allah adalah ketakwaan daripada kamu. Demikianlah dipermudahkannya korban-korban kepada kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan hendaklah kamu gembirakan orang-orang yang berbuat kebajikan." (Al-Haj 22: 36-37)


Apakah kelebihan yang bakal dinikmati oleh orang yang berkorban?

Dalam hadis, banyak galakan bagi umat Rasulullah s.a.w. agar turut serta terlibat dalam ibadah ini. Marilah merebut peluang pada waktu yang sangat terhad dan terbatas ini. Antara yang dinyatakan:

1) Meraih keampunan daripada Allah s.w.t

Titisan darah korban yang pertama merupakan pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu. la bertindak sebagai penebus dosa yang telah kita lakukan. Rasulullah s.a.w bersabda kepada Siti Fatimah r.ha., "Wahai Fatimah! Pergilah ke tempat penyembelihan Korbanmu dan saksikanlah ia. Sesungguhnya titisan darah yang pertama itu adalah merupakan pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu." (Riwayat al-Hakim)

2) Kebaikan dan ganjaran sebanyak jumlah bulu binatang yang dikorbankan.

Para Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah! Apakah yang ada pada korban itu?"
Rasulullah menjawab: "la adalah sunnah bapa kamu Ibrahim" Mereka berkata: "Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab: "Bagi setiap helai rambut satu kebajikan." Mereka berkata: "Bagaimana pula dengan bulu wahai Rasulullah?"
Rasulullah menjawab: "Bagi setiap helai bulu satu kebajikan." Riwayat Ibnu Majah)

3) Ibadah yang sangat cepat sampai kepada Allah serta disimpan di sisi-Nya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih haiwan korban). Sesungguhnya haiwan korban itu akan datang pada Hari Kiamat nanti lengkap dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu laksanakan korban itu dengan hati yang bersih." (Riwayat Tirmizi)

4) Mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w. "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla." (Riwayat Thabrani)

5) Sebagai tunggangan ketika meniti titian Siratal Mustaqim di akhirat.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. "Muliakanlah korban kamu kerana is menjadi tunggangan kamu di titian pada Hari Kiamat."

6) Mati dalam Husnul Khatimah.

Menurut Imam ath-Thabari, antara kelebihan terbesar bagi mereka yang melakukan sembelihan korban, Allah menjauhkannya daripada mati dalam kesudahan yang buruk (su'ul khatimah).

Sejauh mana gesaan Nabi s.a.w. terhadap amalan korban ini?

Nabi s.a.w. sangat menggalakkan amalan korban ini sehingga ada ancaman daripada Nabi sendiri kepada orang yang mampu tetapi tidak melaksanakannya.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda, "Barang siapa yang ada kemampuan untuk berkorban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat solat kami." (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Related Article: Soalan Lazim Berkaitan Ibadah Korban

Post a Comment

0 Comments