Advertisement

Main Ad

Soalan Lazim Berkaitan Ibadah Korban

Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu, dan sembelihlah korban...
Sempena hari raya korban yang akan datang tidak lama lagi, dan kepada yang berniat untuk menjalani Ibadah Korban pada tahun ini, ingin saya kongsikan satu artikel yang membicarakan persoalan-persoalan mengenai Ibadah Korban ini. Mungkin boleh kita refresh semula apa yang pernah kita pelajari sebelum ini.

"Agama tidak melarang sesuatu perbuatan kalau perbuatan itu tidak merosak jiwa. Agama tidak menyuruh, kalau suruhan tidak membawa selamat dan bahagia jiwa." (Hamka).

Pengertian Ibadah Korban

Dari sudut Bahasa korban bermaksud hampir. la bererti amalan yang menghampirkan seseorang hamba kepada Allah s.w.t. la adalah ibadah khusus yang telah ditetapkan oleh syariat agar manusia dapat mendekatkan diri dengan Allah s.w.t

Kerana itu ibadah ini dinamakan sebagai 'udhiah' iaitu binatang sembelihan. la adalah sembelihan binatang iaitu unta, lembu, kambing dan biri-biri. Korban ini dilakukan pada Hari Raya Korban (10 Zulhijjah) untuk mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.

Dalil berkenaan Ibadah Korban

Firman Allah s.w.t.: "Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu, dan sembelihlah korban" (Al-Kautsar 108: 2)

Dalam hadis pula ada dinyatakan: "Nabi s.a.w. menyembelih dua ekor kibasy putih yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangan Baginda sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir..." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimana kedudukan hukum korban?

Hukum asal korban adalah sunat muakkad. Namun korban boleh menjadi wajib dengan dua sebab:
  1. Pertama: Apabila seseorang mengisyaratkan binatang kepunyaannya yang boleh dijadikan korban sambil berkata: "Inilah korbanku atau aku akan korbankan kambing ini." Dengan itu dia wajib melakukan korban pada binatang tersebut.
  2. Kedua: Apabila seseorang bernazar hendak melakukan korban, wajib baginya melaksanakan korban itu.

Apa maksud kemampuan bagi orang yang berkorban?

Maksud berkemampuan adalah seseorang yang mempunyai harta atau wang melebihi perbelanjaan untuk dirinya sendiri dan mereka di bawah tanggungannya sama ada makan, pakaian dan tempat tinggal pada sepanjang hari hari raya dan hari tasyriq.

Bilakah waktu yang disyariatkan melakukan korban?

la bermula selepas solat Hari Raya Korban. Waktu tersebut berterusan sehingga matahari terbenam pada hari tasyriq yang akhir. Hari tasyriq ialah pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Waktu yang paling utama (afdal) menyembelih binatang korban adalah sebaik sahaja selesai solat sunat hari raya.

Nabi s.a.w bersabda, "Perkara pertama yang kami lakukan pada hari raya ini adalah bersolat kemudian balik dan menyembelih binatang korban. Sesiapa yang melakukan perkara tersebut mereka telah melaksanakan sunnah kami dan sesiapa yang melaksanakannya sebelum itu maka dagingnya adalah pemberian biasa kepada keluarganya dan tidak dikira ibadah korban." (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Dan setiap hari tasyriq adalah untuk sembelihan korban." (Riwayat Ibn Hibban)
Bagaimana pembahagian daging yang terbaik untuk orang yang melakukan korban sunat?

Siapa yang disunatkan berkorban?

Korban hanya disunatkan bagi orang-orang yang cukup syarat-syaratnya iaitu:
• Islam.
• Baligh dan berakal.
• Berkemampuan.

Bagaimana dengan korban atas nama bayi?

Seorang wali seperti ayah, ibu, datuk, atau nenek tidak boleh berkorban atas nama seorang anak kecil jika menggunakan harta anak kecil itu. Akan tetapi, sunat baginya berkorban atas nama anak itu dengan menggunakan harta wali itu sendiri.

Adakah sah korban dengan kijang atau kuda?

Tidak sah. Korban hanya sah dengan ‘al-an'am’ iaitu unta, lembu (atau kerbau) kambing dan biri-biri.
Allah s.w.t. berfirman, "Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadah menyembelih korban (atau lain-lainnya supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka, binatang-binatang ternak yang disembelih itu."
(Al-Haj 22: 34)

Bolehkah berkorban atas nama anak yang masih di dalam rahim ibunya?

Tidak boleh.

Bolehkah menyembelih korban pada waktu malam?

Imam Syafi'i r.a. mengizinkan menyembelih korban pada malam-malam hari tasyrik tetapi ada ulama Syafi'i yang mengatakannya makruh. Bagi Imam Malik r.a., tidak boleh menyembelih pada waktu malam.

Apa hukum korban bagi orang yang bermusafir?

Bagi Mazhab Shafi'e dan Hambali, sunat bagi seorang mukim dan musafir berkorban sama ada sedang menunaikan haji atau tidak.

Binatang ternakan apa yang lebih afdal dijadikan korban?

Binatang yang afdal dijadikan korban ialah unta, kemudian diikuti lembu dan kambing. Unta lebih baik daripada unta kerana dagingnya lebih banyak, lembu lebih baik daripada kambing kerana ia boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian korban.

Harus berkorban dengan seekor unta jantan atau betina atau lembu untuk tujuh orang.

lni berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. "Kami berkorban bersama-sama Rasulullah pada tahun Hudaibiyah dengan seekor unta dan seekor lembu untuk tujuh orang."
(Riwayat Muslim)

Bolehkah dibuat korban dengan binatang ternakan yang cacat?

Tidak boleh. Binatang korban yang cacat menyebabkan kurang dagingnya. Oleh itu, tidak sah korban kambing yang terlalu kurus, sangat tempang, buta sebelah mata, berpenyakit atau putus sebahagian telinganya.

Rasulullah s.a.w. menegaskan, "Empat perkara yang menyebabkan binatang tidak sah dijadikan korban ialah binatang yang jelas buta sebelah matanya, penyakit yang nyata, jelas tempangnya, dan terlalu kurus hingga menampakkan tulang." (Riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud) (Setiap perkara yang menyebabkan binatang itu kurus dan kurang dagingnya hendaklah diqiyaskan kepada keempat-empat kecacatan tersebut)

Adakah disyaratkan tujuh bahagian binatang tersebut dikongsi oleh satu keluarga sahaja?

Mazhab Maliki menetapkan tujuh orang yang berkongsi mestilah daripada satu keluarga. Manakala menurut Mazhab Syafi'i dan mazhab yang lain tidak mensyaratkan mesti daripada satu keluarga.

Adakah berbeza umur binatang yang sah dijadikan korban?

Ya, umur binatang yang sah dijadikan korban berbeza mengikut kategorinya.
  • Umur unta: Masuk tahun keenam.
  • Umur lembu dan kambing: Masuk tahun ketiga.
  • Umur biri-biri: Masuk tahun kedua atau telah tanggal gigi hadapannya sekalipun umurnya belum sampai setahun.
Ketetapan ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. "Biri-biri yang paling baik dibuat korban adalah yang berumur lapan ke sembilan bulan."

Apa hukum mengambil daging binatang korban sendiri?

la bergantung sama ada korban itu wajib atau sunat.

Bagi korban wajib: Orang yang melakukan korban tidak boleh mengambil daging korbannya, begitu juga mereka yang berada di bawah tanggungannya. Mereka yang memakannya hendaklah menggantikannya atau membayar mengikut nilai daging yang telah diambilnya.

Bagi korban sunat: Orang yang melakukan korban boleh memakan daging korbannya dengan syarat disedekahkan sebahagiannya.

Bagaimana pembahagian daging yang terbaik untuk orang yang melakukan korban sunat?

Afdal bagi orang membuat korban itu makan sedikit daripada daging korbannya untuk mendapat keberkatan dan selebihnya disedekahkan. Dia juga boleh mengambil 1/3 bahagian, menyedekahkan 1/3 bahagian kepada orang fakir dan 1/3 bahagian lagi dihadiahkan kepada sahabat handai dan jiran tetangganya sekalipun jiran-jiran itu di kalangan orang berada.

Apa syarat khusus bagi orang kaya yang menerima daging korban?

Bagi orang kaya yang menerima daging korban tidak boleh menjualnya kerana pemberian tersebut merupakan hadiah untuk dimakan. Sementara daging yang disedekahkan kepada orang fakir telah menjadi hak milik mereka. Mereka boleh makan atau melakukan apa sahaja termasuk menjualkannya.

Firman Allah s.w.t. "Dan kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu, sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta." (Al-Haj 22: 36)

Bolehkah bercukur dan memotong kuku bagi orang yang ingin berkorban?

Boleh. Namun begitu apabila tiba 10 Zulhijjah, seseorang yang berazam melakukan sembelihan korban, sunat baginya tidak menghilangkan bulunya seperti rambut, janggut, misai dan lain-lain dan kukunya sehingga dilakukan penyembelihan.

Nabi s.a.w. bersabda, "Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, dan antara kamu ada yang hendak melakukan ibadat korban, maka janganlah dia membuang bulu dan kukunya." (Riwayat Muslim)

Bolehkah pemerintah menggunakan wang Baitul Mal untuk ibadah korban bagi pihak rakyat Islam?

Boleh bahkan sunat bagi pemerintah atau pemimpin orang Islam menggunakan wang Baitul Mal untuk melakukan ibadat korban bagi rakyat yang beragama Islam.

Hal ini berdasarkan hadis:
"Nabi s.a.w. menyembelih seekor kibasy untuk korban sambil membaca: Bismillah Ya Allah! Terimalah korban daripada Muhammad, keluarga Muhammad dan umat Muhammad."
(Riwayat Muslim)

Bolehkah orang yang berkorban menjual kulit binatang yang dikorbankan?

Orang yang berkorban boleh memberi kulit binatang korbannya atau mengambil manfaatnya, tetapi tidak boleh menjualnya atau diberi kepada penyembelih sebagai upah menyembelih. Ini kerana perbuatan demikian adalah kecacatan yang merosakkan korbannya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang menjual kulit binatang korbannya, tidak sempurna korbannya." (Riwayat al-Baihaqi)

Siapa yang lebih utama menyembelih binatang korban?

Orang yang berkorban sunat menyembelihnya sendiri. Jika tidak dapat berbuat demikian kerana uzur dan sebagainya, maka hendaklah dia menyaksikan penyembelihan tersebut.

Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Fatimah r.ha.:
"Bangun dan pergilah ke tempat penyembelihan korban kamu dan saksikanlah sendiri kerana dengan titisan darahnya yang pertama akan diampunkan dosa kamu yang terdahulu." Fatimah bertanya, "Wahai Rasulullah! adakah ini khas untuk kita Ahlul Bait sahaja atau untuk kita dan orang Islam keseluruhannya?" Jawab Rasulullah s.a.w., "Bahkan untuk kita dan untuk orang Islam seluruhnya."" (Riwayat al-Hakim)

Mana Iebih baik, sembelih di kawasan lapang atau di tempat penyembelihan?

Melakukan sembelihan di kawasan lapang tempat orang ramai berkumpul mendirikan solat sunat hari raya adalah lebih baik. Hal ini jelas dalam hadis, daripada Ibn Umar r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. telah menyembelih binatang korban di kawasan lapang tempat bersolat." (Riwayat al-Bukhari)

Related Article: Kelebihan bagi orang yang menjalani ibadah korban

*SDKD: Harap jika terdapat kesalahan ejaan dan sebagainya semasa 'penyalinan semula' artikel ini harap dapat ditegur supaya dapat saya perbetulkan.

Post a Comment

0 Comments