Advertisement

Main Ad

Zikir Ibadah Mulia


Tahukah anda apa amalan ibadah yang paling agung dan hebat untuk umat Islam di akhir zaman ini? Rasulullah SAW sentiasa melakukannya pada setiap waktu dan ketika, tidak kira di waktu siang ataupun malam. Boleh dikatakan, ibadah ini dilakukan baginda sepanjang masa.

Amalan ini merupakan satu perintah dari Allah SWT kepada hamba-hambanya agar dilakukan dengan ikhlas dan tawaduk selepas solat dan sebelum solat, selepas dan sebelum makan, selepas dan sebelum tidur dan ketika berjihad, puasa, haji, umrah dan sebagainya.

Ibadah ini tidak memerlukan kita menghadap ke kiblat, tidak perlu secara berjemaah, tidak perlu mengeluarkan belanja atau menggunakan tenaga yang banyak, dan sesuai dilakukan oleh umat Islam di semua peringkat umur samada dewasa, kanak-kanak, orang tua, yang kurang upaya, buta dan sebagainya.

Alangkah ruginya jika kita tidak melakukannya sementara nyawa masih di kandung badan, hanya semata-mata kerana tidak tahu tentang ibadah yang paling mulia di sisi Allah SWT.

Firman-Nya: ""Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar."" (Al-Ahzab: 35)

Rasulullah SAW bersabda:
""Mahukah kamu semua aku tunjukkan amalan yang lebih baik dan lebih suci di sisi Tuhan-mu dan yang lebih tinggi kedudukannya? Lebih baik bagi kamu berbanding menginfakkan emas dan perak? Lebih baik dari kamu bertempur dengan musuh, kamu memancung mereka dan mereka memancung kamu?""

Para sahabat menjawab: ""Bahkan wahai Rasulullah,""
Baginda bersabda: ""Zikrullah taala"". (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)

Imam Muslim telah meriwayatkan dalam satu hadis dari Samurah bin Jundub is berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW:
""Perkataan yang paling dicintai oleh Allah ada empat: ""Subhaanallaah, Alhamdulillah, laa ilaaha ilallaah, dan Allahu Akbar. Tidak akan memberi masalah jika kamu mulakan dengannya"". (Muslim: 2137)

Di antara sebaik-baik zikir ialah membaca ayat kursi setiap kali selesai menunaikan solat sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
""Sesiapa yang membaca ayat kursi selepas menunaikan solat, tidak ada sesuatu pun yang dapat menghalangnya memasuki syurga kecuali mati."" (Hadis riwayat Muslim)

Oleh itu, jadilah seorang yang sentiasa mengingati Allah walau dalam apa jua keadaan. Boleh jadi, kita tidak dapat bangun malam untuk beribadah (qiamullai), tidak mampu untuk bersedekah dan selalu alpa untuk melakukan ibadah sunat.

Maka itu, jadikanlah amalan berzikir ini sebagai pengganti bagi melengkapkan amalan kita yang serba kekurangan.

Berzikirlah kepada Allah di setiap kesempatan yang ada, tidak kira di mana dan dalam keadaan apa sekalipun kerana bila kita mengingati-Nya, sudah pasti Allah SWT akan mengingati hamba-hambaNya.

FirmanNya: ""Oleh itu, ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu). — (Al-Baqarah: 152)
"

Post a Comment

0 Comments