Banyak perkahwinan yang diuji dengan kecurangan pasangan. Meskipun dijaga dengan baik, ditabur dengan kasih sayang tapi ada kalanya tanpa sebab yang kukuh pasangan mula mencari wanita lain mengisi hati biarpun isteri yang sah setia di sisi.
Wanita mana yang tidak terluka menghadapi dugaan maha hebat sebegini. Insan yang disayangi dan Dipercayai sanggup mengkhianati diri pastinya ia sesuatu yang amat mengecewakan. Lebih menyedihkan bila kecurangan ini berlaku setelah masing-masing sudah lama hidup bersama.
Lantas bagaimana hendak menghadapi kecurangan pasangan ini. Perlukah anda berhadapan dengan suami dan menghamburkan kata-kata kasar dan memaki hamun dirinya untuk memuaskan hati? Perlukah anda bertentang mata dengan kekasih gelap suami dan menyerangnya hingga langsung memalukan diri anda sendiri?
Sebaiknya anda tidak memilih kedua-dua langkah di atas. Hanya wanita yang pendek akal saja sanggup melakukan perkara ini. Ambillah tindakan yang lebih bijak dan pelajarilah cara yang betul menghadapi kecurangan suami ini. Jangan terus mengamuk hingga menjatuhkan maruah anda sendiri. Apa caranya? Mw kali ini memberikan panduannya.
ambil masa redakan perasaan
Kenyataan tetap kenyataan, anda tetap perlu berhadapan dengan kecurangan yang dilakukan. Ada sesetengah wanita yang sukar menerima kecurangan suami kerana perkara itu memang menjadi fobia dalam perkahwinan. Lakukanlah apa saja untuk menyakiti hatinya tapi jangan berlaku curang.Sesungguhnya memang sukar tapi inilah realiti yang perlu diterima. Ketika mendapat tahu berita kecurangan pasangan, anda mungkin merasa begitu lemah sekali, sakit hati, terasa dikhianati, marah dan ingin membalas dendam. Ini adalah respons normal setelah mengetahui ketidakjujuran dilakukan pasangan. Anda sendiri memang layak untuk marah dan juga berasa sakit hati.
Tidak dinafikan ada wanita mengambil masa yang lama untuk meredakan perasaan ini. Tapi apa pun yang anda lakukan cubalah untuk tidak bertindak berlebihan pada keadaan ini. Berfikirlah tentang baik dan buruk tindakan anda sebelum melakukannya.
mencari sokongan
Dalam hal ini rakan dan keluarga selalunya menjadi tempat anda mengadu nasib. Tapi sebelum anda berbuat demikian, fikirlah dulu dengan siapa yang patut anda ajak berbicara tentang kecurangan suami.Kesilapan memilih rakan kadang kala memakan diri anda sendiri. Apatah lagi anda tersilap pilih rakan yang suka membawa mulut dan membesar-besarkan cerita yang ada. Carilah sokongan daripada orang yang anda percayai dan kenali luar dan dalam.
Selain itu pastikan juga rakan yang anda pilih adalah seseorang yang dapat memberi sokongan dan pendengar yang baik. Bukannya memperdebatkan kembali apa yang anda katakan. Jika orang yang ajak berbicara membuat keputusan terlebih dahulu daripada anda dan mencadangkan tindakan yang anda sendiri rasakan tidak wajar maka carilah rakan yang lain.
berhenti menyalahkan diri sendiri
Dikatakan begini kerana ada wanita yang menyalahkan diri sendiri bila suami berlaku curang. ""aku tak layan dia dengan elok"", 'aku bukan isteri yang baik' dan 'aku tak membahagiakan dirinya' adalah antara ayat yang mungkin keluar dari wanita ini.Hentikan semua ini kerana yang berlaku curang bukan anda tapi dia!
Kecurangan adalah petanda besar bahawa sesebuah perkahwinan itu punya masalah. Oleh itu adalah penting anda tidak menyalahkan diri anda dalam hal ini. Masalah yang berlaku sudah tentunya tidak hanya berpunca dari diri anda sendiri. Bahkan jika pasangan anda berasa tidak senang dengan perkahwinan yang dijalani, kecurangan bukanlah jalan keluar atau penyelesaiannya. Masih banyak perkara lain yang boleh dilakukan untuk memperbaiki rumah tangga dan bukannya dengan mencari pasangan lain.
jangan buat keputusan ikut emosi
Kecurangan suami sememangnya sesuatu yang cukup menyakitkan hati. Kalau diikutkan hati yang marah dan sakit anda tentu mahu memutuskan saja hubungan. Biar hidup sendiri dari terus memakan hati. Tapi ingatlah jangan membuat keputusan mengikut emosi yang marah. Berikan masa untuk emosi dan jiwa anda kembali tenteram. Selepas itu fikirkanlah pilihan anda. Mahu cuba kembali, bermadu ataupun berpisah?Namun begitu, perpisahan sebaik-baiknya menjadi perkara terakhir dalam fikiran anda terutama sekali jika telah dikurniakan cahaya mata. Fikirkan tentang masa depan anak anda yang akan hidup tanpa ayah di sisi. Tapi jika perpisahan anda rasakan jalan terbaik untuk pastikan anda membuat keputusan ini dengan akal yang sihat dan rasional.
lepaskan dia seketika
Sekiranya anda sayangkan seseorang, lepaskanlah dia. Jika dia kembali, itu tanda dia milik anda selamanya. Pernahkah anda mendengar kata-kata ini? Mungkin ada kebenarannya. Selepas puas anda merayu dan menasihatinya kembali ke pangkal jalan namun suami langsung tidak mengendahkannya.Mungkin satu cara yang boleh anda lakukan adalah dengan melepaskan dirinya seketika. Anda telah melakukan kewajipan anda. Biarkan dia dengan dunianya, mungkin dengan melihat kesabaran anda berhadapan dengan sikapnya membuatkan hati suami lembut dan dapat membezakan yang mana intan dan yang mana satu kaca.
Source: MW
*This article has been schedule to be released. Credit goes to the original writer.
0 Comments