Advertisement

Main Ad

Kisah Hazrat Abu Bakar r.a Memuntahkan Makanan Seorang Tukang Tilik

Hazrat Abu Bakar r.a mempunyai seorang hamba yang menyerahkan sebahagian pendapatannya sebagai ghullah (Ghullah ialah bahagian pendapatan yang diberikan kepada tuan oleh hamba-hamba yang telah dibenarkan bekerja dengan perjanjian bahawa sebahagian daripada pendapatan itu hendaklah diberikan kepada tuannya.) kepada beliau. Pada suatu hari hamba itu telah membawa sedikit makanan lalu diberikan kepada Hazrat Abu Bakar r.a. Beliau memakan sesuap daripada makanan itu. Hamba itu berkata, "Setiap hari biasanya tuan bertanyakan cara-cara saya memperoleh pendapatan. Sebaliknya hari ini tuan tidak bertanya pun."

Beliau menjawab, "Oleh kerana tersangat lapar saya tidak sempat bertanya. Sekarang, beritahulah."
Jawab hamba itu, "Pada masa jahiliah dahulu, saya telah lalu berhampiran suatu kaum dan saya telah membaca jampi mentera untuk mereka dan mereka telah menjanjikan bayaran kepada saya. Hari ini, sekali lagi saya lalu di sana dan mereka sedang mengadakan kenduri kahwin. Merekalah yang telah memberikan makanan ini kepada saya."

Hazrat Abu Bakar terus berkata, "Kamu hampir-hampir membinasakan daku."

Setelah itu, beliau memasukkan jarinya ke dalam halkum, berusaha untuk muntah. Namun demikian, sesuap makanan yang telah dimakan dalam keadaan tersangat lapar itu tidak juga keluar. Seseorang telah mencadangkan agar beliau

minum air kerana akan memudahkan beliau muntah. Beliau telah meminta satu bekas besar yang berisi air dan terus meminum air itu serta berusaha untuk muntah sehingga makanan yang sesuap itu berjaya dikeluarkan.

Ada orang mengatakan, "Semoga Allah s.w.t merahmati tuan. Tuan telah menanggung segala kesusahan kerana sesuap makanan itu."

Beliau menjawab, "Saya tetap akan mengeluarkan makanan itu walaupun nyawa saya akan melayang. Saya dengar Rasulullah s.a.w bersabda bahawa api neraka lebih layak untuk daging yang subur dengan harta yang haram. Saya takut mana-mana bahagian anggota badan saya akan subur dengan sesuap makanan itu." [Muntakhab Kanzul-'Ummal]

Keterangan

Terdapat beberapa kisah seumpama ini tentang Hazrat Abu Bakar r.a kerana beliau mempunyai sifat yang sangat berhati-hati. Hanya kerana sedikit kesangsian beliau telah berusaha untuk memuntahkan makanan tersebut.

Terdapat satu lagi kisah seumpama ini yang diriwayatkan dalam kitab Sahih Bukhari. Ada seorang hamba beliau yang telah berlagak sebagai ahli nujum semasa zaman jahiliah. Dia telah menilik nasib untuk seseorang dan secara kebetulan perkara yang ditiliknya itu benar-benar berlaku. Dia telah diberi upah dan sebahagian daripada upahnya itu telah diserahkan kepada Hazrat Abu Bakar sebagaimana yang telah ditetapkan ke atasnya. Hazrat Abu Bakar r.a

telah memakan makanan hasil upahan tersebut. Setelah diketahui keadaan sebenar, Hazrat Abu Bakar r.a telah memuntahkan kesemua makanan itu.

Dalam kisah-kisah ini, belum pasti harta hamba-hamba itu haram. Mungkin haram atau mungkin halal. Namun demikian, sifat teliti yang ada pada Hazrat Abu Bakar r.a begitu hebat sekali sehingga beliau tidak rela membiarkan harta yang syubhah itu menyuburkan badan beliau.

Post a Comment

0 Comments